Cuaca Sejuk Yang Melanda Negara Kini Kesan Angin Monsun

Online
01-12-2018, 06:22 PM,
#1
Cuaca sejuk melanda negara kesan angin monsun

resim

KUALA LUMPUR: Cuaca sejuk yang melanda negara ketika ini disebabkan tiupan angin monsun timur laut dan tiupan udara tekanan tinggi Siberia-Mongolia yang membawa cuaca sejuk dari utara ke China dan memasuki Laut China Selatan sebelum bergerak ke Malaysia.



Profesor Klimatologi dan Oseanografi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Fredolin Tangang, berkata cuaca sejuk seperti ini akan berlarutan dua tiga hari lagi dengan kawasan di Johor dan Sarawak akan akan berlaku hujan lebat.

Beliau berkata, keadaan ribut petir dan cuaca sejuk yang berlaku sekarang juga digelar sebagai fenomena 'Madden-Julian Oscillation (MJO)' atau Ayunan Madden-Julian.

"Fenomena MJO adalah sebahagian keragaman iklim dalam musim di kawasan tropika yang berayun dengan kekerapan sekali dalam tempoh 20/60 hari," katanya kepada BH hari ini.

Beliau mengulas mengenai cuaca sejuk sekitar 22 darjah Celsius yang dialami beberapa tempat di negara ini sejak beberapa hari lalu

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam catatan di media sosial ketika tiba di tanah air pagi tadi, berkata cuaca sejuk di Malaysia sama seperti ketika beliau berada di Jeddah.

Prof Fredolin berkata, fenomena MJO sering berlaku ketika ketiadaan fenomena El Nino atau La Nina tetapi ia boleh memperkukuhkan proses penjanaan El Nino.

Beliau berkata, tiupan udara tekanan tinggi Siberia-Mongolia juga menyebabkan berlakunya bom siklon yang menyebabkan cuaca sejuk di timur Amerika Syarikat (AS) dan Kanada sehingga mencatat suhu bawah paras beku.

Beliau menjelaskan selain angin sejuk kebiasaannya pergerakan angin monsun timur laut membawa bersama hujan lebat ke kawasan pantai Semenanjung seperti di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor, sekali gus mengakibatkan banjir.

"Pada awal monsun timur laut ini kita menyaksikan kawasan pantai timur dilanda banjir dan penghujung Januari ini ia akan turut ke selatan tanah akhir.

"Keadaan yang sama pernah berlaku pada 2007, ketika Johor dilanda banjir besar namun ketika itu saya tidak pasti berlaku MJO atau tidak," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa mengambil berat amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa seperti Jabatan Meteorologi dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Alui Bahari, berkata cuaca sejuk seperti ini adalah perkara biasa ketika musim monsun timur laut dari November hingga hujung bulan ini dan pernah berlaku pada 2014.

Katanya, pada 2014, cuaca paling rendah dicatatkan di Kuala Krai, Kelantan dengan suhu turun hingga 15.7 darjah Celsius susulan kesan tiupan angin timur laut.

"Untuk hari ini, suhu paling rendah dicatatkan di Kuala Pilah iaitu 21 darjah Celsius. Tempat lain di Semenanjung, suhu sejuk sekitar 22 sehingga 23 darjah Celsius

"Suhu akan turun lebih rendah pada waktu tengah malam dan awal pagi sehingga mencecah 20 darjah Celsius," katanya.

Sebelum ini, aplikasi ramalan cuaca Malaysia, Met Office, memaparkan cuaca di Lembah Klang turun kepada sekitar 22 darjah Celsius.

Tanpa menjelaskan sampai bila cuaca sejuk ini akan berlaku, Alui berkata orang ramai tidak perlu bimbang dengan cuaca sejuk berkenaan hanyalah sementara.

Info: Kawasan yang pernah mencatatkan suhu terendah pada 2014:

3 Februari 2014
Kota Bharu, Kelantan: 17.8°C
Gong Kedak, Terengganu: 17.6°C
Kuala Krai, Kelantan: 15.7°C

4 Februari 2014
Chuping, Perlis: 16.1°C
Butterworth, P. Pinang: 19.0°C
Kuala Kangsar, Perak: 17.2°C.


- BHarian

Possibly Related Threads...
Cuaca Sejuk Ekstrem Di Amerika, 18 Maut, Ikan Jerung Mati Membeku
Sabah Dilanda Angin Kencang 60km Sejam
Jerebu Kembali Melanda Negara
Gempa 6.2 Melanda Itali, Angka Korban Terus Meningkat
Gempa 6.4 Magnitud Melanda Taiwan
Cuaca Sejuk Di Thailand Sebabkan 12 Penduduk Maut
2015 Catat Cuaca Terpanas Dalam Sejarah Dunia
Ribut Pasir Luar Biasa Melanda Arab
Kesan Ribut Yang Melanda Beberapa Negeri Hari Ini
Dulu Dilanda Banjir Besar, 
kini Kemarau Di Gua Musang



Users browsing this thread: 1 Guest(s)
Komen: 0 <<>> Dilihat: 29
Cuaca Sejuk Yang Melanda Negara Kini Kesan Angin Monsun
sukawg
115070
Forum Jump: