Ini Kali Pertama Pukul, Dakwa Ibu Kepada Budak Ampang

Offline
09-28-2017, 07:32 AM,
#1
Shukrey minta ampun






resim

"AMPUNKAN Abang Long mak, abah. Abang Long menyesal...," kata Muhammad Shukrey Mohammad Nasir,15, yang videonya memukul ibunya beberapa kali menggunakan tangan tular di laman sosial kelmarin.

Rakaman video itu memaparkan remaja terbabit memakai pakaian seragam sekolah dengan keadaan butang baju terbuka serta seluar terlondeh itu memukul sambil memaksa ibunya untuk memberikan wang.

Video berdurasi 42 saat itu menerima pelbagai reaksi netizen di laman sosial selepas tersebar kira-kira 6 petang, semalam.

Wartawan Harian Metro hari ini mengunjungi kediaman remaja berkenaan di Taman Bukit Teratai, Ampang untuk menemubual ibunya, Umisarah Manaf, 36 dan bapanya, Mohammad Nasir Budori, 39.

Bagaimanapun, remaja itu lebih banyak mendiamkan diri dan ibunya memaklumkan anaknya itu mengalami sedikit masalah pembelajaran dan pemikirannya terganggu sejak malam semalam selepas memberi keterangan kepada pihak polis.

Ini kali pertama pukul, dakwa ibu

Wartawan : Boleh ceritakan apa reaksi puan ketika kejadian itu berlaku?

Umisarah: Dia (anak) tak pernah buat macam tu sebelum ini. Ini kali pertama lah. Saya terkejut sebab dia buat macam itu sebab dia anak yang baik..dengar cakap. Saya tak sangka dia tiba-tiba jadi panas baran sampai macam itu sekali. Sebelum ini dia jentik cubit saya pun tak pernah.

Wartawan : Apa yang membuatkan anak boleh bertindak begitu?

Umisarah: Saya tidak dapat bagi duit belanja sekolah kerana hanya ada RM17 suami saya bagi untuk buat belanja tambang bas pergi ke tempat kerja. Gaji pula lambat lagi. Jadi, anak seorang yang rajin mencari duit sendiri, selalu ada duit poket. Jual tin, botol, kotak..Tapi semalam dia tiada duit langsung, bila saya tak bagi, itu yang dia marah tu..

Wartawan : Sebelum ini dia tidak pernah buat begitu, adakah ada sesuatu yang mempengaruhi menjadikan dia begitu?

Umisarah: Saya tak pasti apa yang menjadikan dia macam tu. Sikap dia pun memang ada berubah baru-baru ini, dia kerap balik lewat malam. Tapi saya tak kisah sebab dia selalu membantu orang untuk dapatkan upah. Mungkin anak sikit tertekan sebab peperiksaan PT3 (Pentaksiran Tingkatan 3) tak lama lagi.

Wartawan : Apakah yang puan akan lakukan untuk memastikan dia tidak mengulangi perbuatan itu?

Umisarah: Saya sudahpun memaafkan dia dan saya juga meminta maaf kerana tidak dapat memberinya belanja sekolah. Orang lain macam guru sekolah, polis dan jiran banyak bagi nasihat apa yang patut saya dan suami buat untuk dia. Saya akan bagi dia lebih perhatian selepas ini dan menganggap perbuatan dia itu adalah satu kekurangan daripada 100 kebaikan yang dilakukan anak dan tidak mahu menghukum dia disebabkan satu kesilapan saja.

Wartawan : Baiklah. Sebagai seorang ayah, apa tindakan encik selepas melihat video itu?

Mohamad Nasir: Ketika kejadian saya di tempat kerja. Kemudian dapat video itu, anak saya yang perempuan hantar. Jadi saya hantar pula video itu pada guru anak sulung saya itu dengan niat mahu guru itu menasihatnya supaya jaga kelakuan tambahan pula sejak dua menjak ini anak kurang berminat untuk ke sekolah. Sebenarnya sebelum ini saya sudah banyak memarahi dia, merotan dia, supaya tumpu pada pelajaran. Kalau boleh saya nak dia lebih pandai daripada saya, tak jadi macam saya.

Pengawal sekolah disyaki sebar video

Wartawan : Encik tahu bagaimana video boleh tular di media sosial?

Mohamad Nasir: Saya sendiri tak sangka video itu boleh jatuh ke tangan orang lain iaitu pengawal keselamatan di sekolah dan viralkan di Facebook sampai ada yang kecam nak datang pukul anak saya. Bukan anak saja, kami ibu bapa pun dipersalahkan termasuk neneknya yang separuh buta tak nampak apa-apa masa kejadian, pun disalahkan kerana tidak menghalang tindakan anak saya itu.

Wartawan : Selepas mengetahui video ditularkan dan mengundang ancaman kepada keluarga, apa tindakan encik?

Mohamad Nasir: Saya buat laporan polis sebab bimbang keselamatan keluarga apabila ramai yang bagi kecaman. Saya harap orang ramai tidak terus hukum kami sekeluarga jika tidak kenal anak saya yang sebenar dan tidak tahu 'di sebalik tabir' situasi yang berlaku. Dia anak saya, saya tahu nak ajar macam mana bila dia buat salah.

Pada kunjungan itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Seraya, Nordiana Othman, serta beberapa ahlinya turut melawat keluarga berkenaan dan menjalankan sesi kaunseling untuk remaja berkenaan.

Wartawan turut mendapatkan reaksi daripada beliau.

Wartawan : Apakah tindakan yang puan ambil untuk memastikan pelajar ini tidak terjejas dalam pembelajarannya selepas video dia memukul ibunya tular?

Nordiana : Kunjungan kami hari ini untuk memberinya semangat, motivasi dan memastikan emosinya tidak terganggu memandangkan peperiksaan PT3 juga tiba tidak lama lagi. Sebagai Yang Dipertua saya rasa bertanggungjawab dan memainkan peranan penting dalam dalam ini. Saya akan pastikan dia belajar dan mengambil peperiksaan PT3 selama empat hari bermula Isnin depan. Saya sendiri akan ambil dia dan hantar ke sekolah. Saya akan tunggu dan pastikan dia masuk ke dewan. Ini masa depan dia, jangan ketepikan anak macam ini. Kita kena kaji dulu apa punca menyebabkan dia bertindak demikian rupa.

Wartawan : Bagaimana tingkah lakunya di sekolah?

Nordiana : Berdasarkan maklumat daripada pihak sekolah, meskipun pembelajaran dia agak perlahan untuk menangkap apa yang diajar oleh gurunya, tetapi dia tiada masalah disiplin. Dia bukan samseng, dia bukan pelajar yang selalu buat hal. Dia cuma sedikit lemah untuk belajar cepat, namun itu kita boleh bentuk untuk jadi seorang pelajar dan anak yang baik. Saya juga difahamkan oleh jiran keluarga ini, pelajar seorang yang ringan tulang dan bijak mencari duit poket sendiri. Tidak menyusahkan ibubapa.

Harian Metro turut mendapatkan jiran remaja terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Hajar, 35, dan Ahmad, 36, yang mengakui rapat dan sangat mengenali dengan remaja itu.

Rajin solat Subuh berjemaah, kata jiran

Wartawan : Bagaimanakah sikap dan tingkah laku remaja itu?

Hajar : Dia pendiam dengan orang yang dia tidak kenal. Tapi dia seorang yang peramah dan bercampur dengan semua orang di pangsapuri ini. Paling saya kagum dengan dia, setiap Isnin hingga Jumaat dia akan ke surau untuk berjemaah solat Subuh. Selesai solat, dia akan pergi ke sebuah rumah tingkat bawah dan akan memapah seorang lelaki warga emas Orang Kurang Upaya (OKU) untuk dihantar ke kereta lelaki itu. Apabila lelaki itu pulang dari kerja pada waktu petang, dia akan membunyikan hon, remaja itu akan datang untuk papah dia sampai ke pintu rumahnya.

Ahmad : Remaja itu rajin mencari duit poket. Kedai dan restoran berdekatan sini semua kenal dia sebab dia rajin mengutip botol, kotak dan tin untuk dijual. Kadang-kadang ada penduduk yang baru pulang membeli-belah, dia akan bantu angkat barang naik ke tingkat atas. Dia tidak kisah diberi upah atau tidak. Hanya orang yang kenal dia, akan terkejut bila tengok video itu.

Susulan kejadian berkenaan polis turut mengambil keterangan daripada remaja itu dan menjalankan ujian air kencing susulan perlakuannya dalam video yang tersebar, namun remaja berkenaan disahkan bebas daripada pengaruh dadah.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, ujian air kencing sudah dilakukan terhadap remaja berkenaan ketika dia hadir bersama ibunya di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya untuk memberi keterangan.

Katanya, rakaman insiden remaja itu memukul ibunya menjadi tular lalu dikecam oleh masyarakat dan siasatan lanjut berhubung insiden ini sedang dijalankan. - Metro

Possibly Related Threads...
Profesor Dakwa Berjaya Pembedahan Sambung Kepala Pada Mayat
Kasut Adidas: Si Penumbuk Tak Puas Hati, Dakwa Akhbar Buat Fitnah
Masih Menafikan, Wanita Dakwa Honda Crv Ditemui Semula Betul-betul Di Petak Asal
Viral Budak Ditampar, Diheret Hanya Kerana Mahu Ikut Ibu
Ahli Parlimen Dakwa Godfather Lindungi Sindiket Nelayan Asing
Ibu Meninggal Di Hari Pertama Peperiksaan Spm
Datuk Seri Pukul Anggota Rela Naik Mahkamah Lagi, Didakwa Ambil Dadah
Zahid Umum Dana Rm500,000 Kepada Ppim
Pakar Tangkap Jin Yang Pertama Di Dunia
Budak Digigit Anjing: Pemilik Dikompaun Rm500



Users browsing this thread: 1 Guest(s)
Komen: 0 <<>> Dilihat: 63
Ini Kali Pertama Pukul, Dakwa Ibu Kepada Budak Ampang
sukawg
113007
Forum Jump: