Lpt2 Bukan Lebuhraya Cap Ayam

Offline
01-21-2018, 08:54 PM,
#1
resim
resim
resim
Rosli (dua kanan) membantu mengisi petrol ke dalam tangki motosikal orang ramai pada program santai minum petang bersama beliau yang diadakan di pekarangan Stesen Minyak Petronas Kemasik.

KEMAMAN - Kerajaan negeri menyangkal dakwaan liar kononnya Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) tidak berkualiti rentetan banyak berlaku kes kemalangan maut di sepanjang jajaran sejauh 184 kilometer itu sejak ia mula dibuka sehingga sekarang.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri, Ir Rosli Othman berkata, dakwaan yang melabelkan LPT2 sebagai 'cap ayam' adalah tidak berasas.

Tegasnya, LPT2 selamat untuk digunakan dan ia dibina mengikut standard lebuh raya yang telah ditetapkan sama seperti LPT1 serta Lebuhraya Utara Selatan (Plus).

"Sebaliknya kemalangan berlaku kebanyakannya berpunca daripada sikap pengguna yang memandu laju melepasi had yang telah ditetapkan.

"Tak ada isu pasal cap ayam tetapi ia pasal sikap kita yang memandu laju. Ramai yang bawa laju...ada yang bawa 120 kilometer per jam (km/j), ada pandu 160 km/j dan yang bawa 200 km/j pun ada.

"Banyak juga aduan yang kita terima pasal kena saman atas lebuh raya. Saman pasal apa? Sebab bawa laju," katanya yang juga Adun Kemasik ketika ditemui pada program santai minum petang bersama beliau yang diadakan di pekarangan Stesen Minyak Petronas Kemasik, di sini.

Bagaimanapun, Rosli mengakui bahawa ketika LPT2 baharu dibuka sepenuhnya pada 29 Januari 2015, memang laluan lebuh raya itu didapati bermasalah hasil kajian  dilakukan termasuk masalah permukaan laluanberalun tetapi masalah yang dikesan itu cuma dalam peratusan kecil, tidak sampai dua peratus.

Rosli pada masa sama turut melahirkan rasa sedih dengan kemalangan maut terbaharu yang berlaku di LPT2 kelmarin yang melibatkan seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 8.15 pagi di Kilometer 317.4 LPT2 berhampiran susur keluar plaza tol Kerteh itu, mangsa yang juga pengurus projek di sebuah syarikat kontraktor petroleum, Md Sendee@Zalani Ngah@Choh, 41, maut selepas motosikalnya terbabas akibat melanggar lopak air.

Ditanya mengenai masalah lopak air, Rosli berharap agar pihak kontraktor penyelenggaraan dapat mengambil tindakan demi mengelakkan pengguna ditimpa musibah.

"Tapi kita tak boleh salahkan satu pihak, pengguna juga mesti hati-hati semasa musim hujan sekarang kerana jalan licin.

"Apa yang saya ketahui penyelenggaraan ke atas lebuh raya ini sentiasa dilakukan malah dalam keadaan cuaca lembap sekarang pun, kalau ada permukaan jalan berlubang, ia tetap diturap," katanya.

Dalam pada itu, kata Rosli, pada masa ini pihaknya turut mengenalpasti laluan yang mengalami kerosakan yang agak teruk iaitu laluan antara Paka dan Ajil.

"Kita dah bawa perkara ini dalam mesyuarat di mana ada dua tiga lokasi yang alami kerosakan penyambung antara jambatan dan jalan.

"Kita dah minta pihak kontraktor penyelenggaraan untuk baiki dan mereka telah kenalpasti. Kerja pembaikan ini tidak boleh selesai dilakukan dalam sekelip mata tapi Insya-ALLAH kita akan dibetulkan segera," katanya.

Sejak dibuka, LPT2 dicop dengan banyak gelaran kurang enak terutama oleh pengguna media sosial disebabkan kerap berlaku kemalangan maut dan ada segelintir yang turut mempertikai kualiti pembinaannya. - Sinar


====

Jalan beralun bukan punca kemalangan

KUALA LUMPUR - Kemalangan di Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) bukan berpunca daripada keadaan permukaan jalan yang beralun, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.


Sebaliknya, beliau berkata, lokasi kemalangan maut berlaku di jajaran lurus dan mempunyai permukaan jalan yang baik.

Dalam satu kenyataan hari ini, Fadillah berkata, penemuan itu diperoleh daripada padanan statistik kemalangan maut dengan nilai Indeks Kerataan Jalan Antarabangsa (IRI) hasil ujian profil yang dijalankan ke atas permukaan jalan di lebuh raya berkenaan.

"Berdasarkan keputusan ujian IRI yang dijalankan pada 8 Jan 2016, didapati nilai IRI bagi keseluruhan jajaran LPT2 sepanjang 184km adalah mematuhi tahap nilai ditetapkan Lembaga Lebuhraya Malaysia

"Kementerian juga telah memadankan rekod statistik kemalangan maut dengan nilai IRI dan mendapati lokasi kemalangan maut tidak berlaku di lokasi beralun tetapi di jajaran lurus dan mempunyai permukaan jalan yang baik.

"Justeru, jalan beralun bukan punca kemalangan di LPT2 sepertimana ditemui daripada ujian IRI tersebut," katanya.

Fadillah berkata, kementerian menjalankan dua peringkat ujian IRI di LPT2, iaitu pada 28 Oktober lepas bagi jajaran lebuh raya sepanjang 60km, dan pada 5 hingga 8 Jan 2016 bagi keseluruhan jajaran LPT2 sepanjang 184km.        

Menurutnya ujian IRI dijalankan oleh Ikram Paves Sdn Bhd menggunakan Pengimbas Jalan yang mengimbas permukaan jalan dan menyemak jalan menggunakan laser, dan data diperoleh akan dianalisa untuk digunakan dalam kerja-kerja penyelenggaraan.

"Ia merupakan tambahan kepada pemeriksaan rutin yang dibuat ke atas LPT2," katanya.

Fadillah berkata, walaupun jalan beralun bukanlah punca kemalangan di lebuh raya berkenaan, permukaan jalan di lokasi terlibat akan terus dibaik pulih dengan menggunakan kaedah kawalan dan menurap semula jalan serta penggunaan bahan-bahan khas.

"Ujian IRI akan diteruskan secara berkala supaya kerja penyelenggaraan dapat dijalankan dengan sempurna dan strategik mengikut standard dan spesifikasi ditetapkan untuk menjamin keselamatan dan keselesaan pemanduan bagi pengguna LPT2," katanya.

Beliau juga berharap pengguna jalan raya dapat memanfaatkan kemudahan jajaran LPT2 secara berhemah dengan mematuhi had laju ditetapkan. - Bernama/Sinar

Possibly Related Threads...
Bukan Biasa-biasa, Gadis Ini Gemar Buru Hantu
Syarikat Kurier Punca 570 Restoran Kfc Ditutup Lepas Gagal Hantar Ayam
Beratus Restoran Kfc Ditutup Kerana Tak Cukup Ayam
Majikan Bukan Islam Hantar Amah Pergi Umrah
Polis Sahkan Bayi Meninggal Di Johor Bukan Kerana Doula
Terkejut Nasi Berlauk Kaki Ayam Dicaj Rm9
Kes Cikgu Gigit Tangan Murid Selesai, Bayar Denda Seekor Ayam
Gadis Bukan Dilarikan, Tapi Rela Lari Rumah Demi Cinta
Nasi Ayam Cuma Rm1.30 Di Ipoh
Bukan Serbu Pengantin, Tetamu Serbu Pelamin Tema Doraemon & Hello Kitty



Users browsing this thread: 1 Guest(s)
Komen: 0 <<>> Dilihat: 57
Lpt2 Bukan Lebuhraya Cap Ayam
sukawg
115303
Forum Jump: