Pembesar Suara: Kerajaan Negeri Siasat Pihak Bocor Surat Rasmi

Offline
10-02-2015, 08:20 AM,
#1
resim
Wan Salim berkata, pihaknya sedia mengadakan perbincangan dan dialog dengan semua jawatankuasa qariah masjid, berhubung cadangan mengehadkan penggunaan pembesar suara untuk laungan azan dan iqamat. - Foto arkib

GEORGE TOWN, 1 Oktober: Kerajaan Negeri Pulau Pinang memandang serius kebocoran surat rasmi kerajaan berhubung keputusan larangan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau, kecuali untuk azan dan iqamat, yang akan diwartakan tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sedang menjalankan siasatan, bagi mencari pihak yang membocorkan surat itu, sebelum mengambil tindakan tegas.

“Tindakan pihak yang membocorkan surat itu adalah berniat jahat dan cuba menimbulkan suasana huru-hara. Saya rasa perkara ini bukanlah sesuatu yang besar untuk dibangkitkan. Ini baru satu keputusan dan perlu melalui banyak lagi proses, sebelum ia difatwakan,” katanya pada sidang media hari ini.

Semalam, perkara itu dinyatakan melalui surat Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang bertarikh 1 September lalu, berhubung keputusan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang bertarikh 1 dan 2 Julai serta disahkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 23 dan 24 Ogos lalu.

Surat yang memetik cabutan minit Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang itu menyebut, mesyuarat bersetuju Irsyad hukum yang diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri bertarikh 7 April 2011, mengenai larangan membaca Al-Quran sebelum Subuh menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau, perlu ditambah baik, dengan memasukkan larangan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau, bagi semua program seperti qiamulail, tahajud, kuliah, mesyuarat dan seumpamanya.

Abdul Malik berkata, keputusan Jawatankuasa Fatwa itu telah dimaklumkan kepadanya dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) sebagai jabatan yang bertanggungjawab untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, keputusan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, sebelum ia diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah untuk mendapat perkenan baginda.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Wan Salim Mohd Noor yang turut hadir pada sidang media itu berkata, pihaknya sedia mengadakan perbincangan dan dialog dengan semua jawatankuasa qariah masjid, berhubung cadangan mengehadkan penggunaan pembesar suara untuk laungan azan dan iqamat sahaja.

“Selain itu, orang ramai yang mempunyai cadangan atau penambahbaikan mengenai fatwa berkenaan, boleh menghubungi Jabatan Mufti Pulau Pinang untuk menyalurkan maklumat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Malik berkata, kerajaan negeri sedang mengumpul nama calon bagi jawatan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), untuk dibentangkan dalam mesyuarat Exco, sebelum diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, jawatan itu yang disandang Datuk Mohd Salleh Man akan tamat pada 31 Disember ini dan akan diisi selepas mendapat perkenan baginda.

Pelantikan Yang Dipertua MAIPP untuk tempoh dua tahun setiap penggal ditentukan Yang di-Pertuan Agong, selepas cadangan calon dikemukakan kerajaan negeri. - TRP

Possibly Related Threads...
Cuepacs Minta Kerajaan Naikkan Gaji Penjawat Awam 3 Peratus
Jawi Siasat Iftar Dianjur Golongan Songsang
Kes Thaqif: Laporan Bedah Siasat Dalam 2 Minggu Lagi - Menteri
Wanita Saman Kerajaan Perancis Gagal Kawal Pencemaran Udara
Kes Thaqif: Keluarga Desak Kkm Dedah Laporan Bedah Siasat
Pihak Berkuasa Guna Teknologi Canggih Tangkap Penipu Peperiksaan Di China
Kerajaan Akan Fail Rayuan Kes Bill Kayong - Peguam Negara
Negeri Sembilan, Kelantan Beri Bonus Raya Rm500
Doktor Tegur Ejen Insurans Perlekeh Hospital Kerajaan Untuk Jual Produk
Kapal Tldm Yang Dijadikan Muzium Senget Lepas Bocor



Users browsing this thread: 1 Guest(s)
Komen: 0 <<>> Dilihat: 376
Pembesar Suara: Kerajaan Negeri Siasat Pihak Bocor Surat Rasmi
sukawg
98659
Forum Jump: