Temubual Bersama Kapten Nik

Offline
12-26-2016, 09:07 PM,
#1
resim

MUKADIMAH: SETELAH begitu banyak wang dan tenaga digunakan dalam misi pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak Mac 2014, tiba-tiba Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) mendakwa misi pencarian selama ini dijalankan di kawasan yang salah dan mencadangkan usaha diperluaskan ke bahagian utara Lautan Hindi.

Apakah benar pencarian selama ini dibuat di kawasan yang salah dan cadangan oleh ATSB boleh dijadikan sandaran? Untuk itu, wartawan Mingguan Malaysia, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI mewancara bekas Ketua Juruterbang Penerbangan Serantau MAS, KAPTEN DATUK NIK AHMAD HUZLAN NIK HUSSAIN yang banyak mengikuti dan memberikan pandangan berdasarkan analisis beliau dalam isu tersebut.

“Pertikaian pendapat sama ada pesawat itu meluncur atau menjunam bukan perkara baharu. Ini pun menjadi satu tanda tanya yang mengelirukan kerana kenyataan di mana ATSB menyatakan pesawat meluncur ada dibuat, dan kenyataan kemungkinan pesawat menjunam pun ada dibuat dalam masa dua tahun ini,” kata beliau.

___

MINGGUAN: Bagaimana Datuk melihat isu pencarian pesawat malang MH370. Apakah masih ada peluang untuk menjumpai pesawat tersebut setelah beberapa tahun masih menemui jalan buntu apatah lagi baru-baru ini terdapat laporan yang mendakwa pencarian selama ini dilakukan di kawasan yang salah?

NIK AHMAD HUZLAN: Saya berasa sedikit keliru dengan dakwaan pencarian dibuat di kawasan yang salah oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB). Ini timbul memandangkan beberapa kali perkara ini telah berlaku dalam masa dua tahun setengah. Tambah lagi ada beberapa kali pihak ATSB telah menyatakan mereka yakin bahawa kawasan pencarian adalah tepat dan juga menyatakan bangkai pesawat akan ditemui dalam masa terdekat.

Pakar-pakar yang terlibat dalam misi pencarian dikatakan terdiri daripada mereka yang berpengetahuan luas dalam bidang yang relevan untuk misi ini. Ini menimbulkan satu persoalan dari segi kepercayaan orang ramai apabila kenyataan rasmi yang dibuat bercanggah dengan realiti yang sebenarnya.

MINGGUAN: ATSB mengeluarkan laporan penemuan bukti baharu pergerakan lautan dan analisis komunikasi satelit dengan pesawat serta serpihan dijumpai telah menentukan kawasan pencarian baharu. Dalam erti kata lain misi pencarian sebelum ini dijalankan di kawasan salah. Bagaimana Datuk melihat persoalan ini dan apakah selama ini kita mencari di kawasan yang salah?

NIK AHMAD HUZLAN: Data satelit telah ada di tangan ATSB sejak dua tahun lalu, dan data tersebut telah dianalisis bersama dengan jangkaan laluan pesawat B777-200 MH370 yang konsisten dengan angin lazim, kelajuan dan jangkaan altitud. Inilah yang menjadi asas untuk ATSB mengenal pasti kawasan pencarian di mana misi yang sedang dijalankan sekarang dibuat.

 Setelah serpihan yang dijumpai dikenal pasti dari pesawat B777 MH370, ATSB pula mengerah pakar Oceanography yang mahir dalam bidang pergerakan arus Laut Hindi Selatan, maka ATSB sepatutnya dapatlah mengenal pasti dengan lebih tepat lagi kawasan yang patut dicari.

 Serpihan-serpihan dijumpai lebih setahun lalu, justeru kenyataan baharu daripada ATSB mengenai kawasan yang dicari adalah tidak betul menimbulkan lagi satu tanda tanya. Usaha ulang kaji menggunakan Drift Modelling dan Debris Movement Analysis sepatutnya tidak memakan masa yang panjang kerana data pergerakan arus telah ada di tangan pakar Oceanography. Ini sekali lagi menimbulkan tanda tanya daripada orang ramai.

MINGGUAN: Dalam hal ini Australia menolak cadangan ini kerana didakwa kekurangan bukti untuk memperluas kawasan pencarian selain soal siapa yang bakal menanggung kos pencarian itu. Komen Datuk tentang isu ini?

NIK AHMAD HUZLAN: Pada pandangan saya, isu kos pencarianlah yang menjadi satu halangan terbesar untuk meneruskan usaha ini. Tambah lagi kenyataan yang sehingga kini selalu tidak tepat dan kadang-kadang bercanggah menimbulkan kecurigaan daripada pihak Kerajaan Australia yang mungkin berasa seperti mencurah garam ke laut dari segi isu perbelanjaan.

MINGGUAN: Setakat ini, lapan satelit dari pelbagai negara bergabung untuk membantu mengesan kedudukan MH370. Kita menerima 20 imej sehari daripada satelit yang mempunyai resolusi dan kedudukan berbeza. Bagaimanapun satelit ini tidak boleh ambil imej pada waktu malam, selain masalah jerebu teruk yang berlaku kini menjejaskan imej yang dirakam dan menyukarkan lagi operasi SAR. Apakah maklumat yang diterima ini membantu usaha pencarian sebenar atau hakikatnya kita tidak tahu di mana kawasan sepatutnya dalam memulakan pencarian pesawat itu?

NIK AHMAD HUZLAN: Imej dari satelit buat masa ini tidak berapa relevan untuk pencarian di dasar laut. Ia hanya untuk mencari serpihan yang masih terapung di permukaan.

MINGGUAN: Beberapa anggota berpengalaman daripada syarikat Belanda yang mengetuai carian pesawat MH370 percaya pesawat tersebut berakhir dengan meluncur ke bawah, berbanding terjunam ke laut. Kini ramai yang percaya bahawa pesawat tersebut meluncur ke bawah, yang bermaksud ia telah dikendalikan sehingga akhir dan membawanya di luar kawasan yang tidak dapat ditandakan oleh pengiraan daripada imej satelit. Apa komen Datuk tentang hal ini?

NIK AHMAD HUZLAN: Pertikaian pendapat sama ada pesawat itu meluncur atau menjunam bukan perkara baharu. Inipun menjadi satu tanda tanya yang mengelirukan kerana kenyataan di mana ATSB menyatakan pesawat meluncur ada dibuat, dan kenyataan kemungkinan pesawat menjunam pun ada dibuat dalam masa dua tahun ini.
 
Setelah serpihan ditemukan, bukti lebih memihak kepada teori pesawat meluncur ke permukaan air, memandangkan serpihan yang dipungut semuanya merupakan komponen luaran pesawat. Lazimnya, jika pesawat itu menjunam ke permukaan air, pesawat akan berkecai, dan lebih banyak kandungan dari dalam pesawat akan terapung, dan semestinya ditemukan di kawasan yang sama.
 
MINGGUAN: Kalau dirujuk kepada insiden AF447 Air France yang terhempas di lautan Atlantik pada bulan Jun 2009, banyak serpihan dalaman yang dijumpai, berbanding serpihan MH370 ini. Berikutan dakwaan tersilap kawasan pencarian ini, ada yang berpendapat bahawa supaya semua data didedahkan kepada umum, justeru ahli akademik dan syarikat-syarikat saingan boleh menggunakan ‘sumber terbuka’ dalam mencari penyelesaian kepada jawapan awam dalam misteri terbesar industri penerbangan ini. Pandangan Datuk?

NIK AHMAD HUZLAN: Ini saya amat setuju kerana kejadian MH370 tidak melibatkan apa-apa perkara sensitif kepada mana-mana negara sekalipun. Ramai yang cenderung untuk kongsi pengetahuan dan juga mengkaji menggunakan kepandaian masing-masing secara percuma, dan amat wajar jikalau data dikongsikan secara open source.

MINGGUAN: Harapan Datuk dalam soal misteri kehilangan pesawat MH370 dan mungkin Datuk sendiri ada jalan penyelesaian terbaik dalam merungkai masalah ini?

NIK AHMAD HUZLAN: Tanpa data saya hanya dapat memberi analisis bersandarkan apa yang saya lihat dan dengar ditapis dengan pengalaman dan pengetahuan yang saya longgokkan melalui kerjaya saya di bidang penerbangan selama ini.


Utusan

Possibly Related Threads...
Laluan Mh370 Sama Seperti Dalam Simulator Kapten Zaharie, Kata Laporan Atsb
Tak Masuk Akal Mh370 Di Tawi Tawi - Kapten Nik
Serpihan Pesawat Ditemui Sebahagian Kepak Milik Pesawat Besar – Kapten Nik
4 Fakta Konspirasi Mh370 Dipetik Fb Kapten Tengku Sharifah Sofea Kantoi Menipu
Kakak Kapten Zaharie Akhirnya Buka Mulut
Kapten Zaharie Kembali Menjadi Suspek Utama
Kapten Zaharie Tiada Insurans Nyawa
Kapten Zaharie Ahmad Shah Dikatakan Sebagai Orang Terakhir Dalam Pesawat
Serah Kotak Hitam Kepada Yang Cekap Dan Bersih, Kata Kapten Nik Huzlan
" Ahmad Jauhari Kapten Yang Masih Diperlukan" - Mas



Users browsing this thread: 1 Guest(s)
Komen: 0 <<>> Dilihat: 306
Temubual Bersama Kapten Nik
sukawg
106621
Forum Jump: